Kartun oleh : Juragan, Dialog Kota Raya, Metro 22 Ogos 2011
Dalam usaha menambah kecekapan tenaga dan mengurangkan kos operasi, semua bangunan kerajaan diwajibkan supaya menetapkan suhu sistem pendingin hawa di bangunan dan pejabat masing-masing tidak kurang daripada 24 darjah Celcius.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim pada 11 Ogos baru-baru ini di Putrajaya menyeru agar langkah itu dilaksanakan segera bagi membantu usaha penjimatan tenaga dan mempercepatkan penerapan budaya teknologi hijau di kalangan masyarakat Malaysia.
Antara langkah lain yang diperkatakan ketika mesyuarat tersebut ialah penggantian lampu biasa kepada lampu cekap tenaga, CFL atau LED.
TNB memang sudah dikenali dengan peranannya sebagai penjana dan pembekal tenaga elektrik kepada pengguna. Sebagai salah sebuah GLC gergasi yang memonopoli industri tenaga di Malaysia, sudah tentu kita tidak mahu ketinggalan menyahut seruan murni Perdana Menteri itu.
TNB yang lebih arif dalam selok belok tenaga perlulah menyokong insiatif Kerajaan ini dengan mengorak langkah yang sama. Mungkin kita boleh mulakan langkah ini SERTA MERTA sambil menunggu surat pekeliling diterbitkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk penetapan suhu sistem pendingin hawa di bangunan kerajaan pada 24 darjah Celcius.
Warga kerja juga adalah disarankan untuk mengambil langkah yang sama. Di beberapa pejabat TNB, terdapat beberapa bilik mesyuarat dan juga bilik pengurus-pengurus yang memasang ‘split air conditioner’. Oleh demikian, haruslah diingatkan supaya warga kerja dapat mendisiplinkan diri untuk menetapkan suhu pendingin hawa tersebut dengan mengamalkan penggunaan secara berhemah iaitu dengan menetapkan suhu kepada 24 darjah Celcius.
Malah, perlu diingatkan juga amalan mematikan suis pendingin hawa tersebut, setiap kali habis digunakan. Bagi mendapatkan dan mengamati suhu bilik yang selesa pada 24 darjah celcius, adalah disarankan supaya pintu dan tingkap ditutup dengan rapi bagi mengelakkan suhu dingin itu terkeluar daripada lingkungan peredaran udara dingin di dalam bilik.
Ayuh kawan, tunggu apa lagi…Bersama-samalah kita mengamalkan langkah yang bijak dan cekap demi kesejahteraan kita rakyat Malaysia dalam usaha membudayakan teknologi hijau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan